Jabatan Penerangan Negeri Perak telah
ditubuhkan pada tahun 1946 setelah setahun Jabatan Penerangan Malaysia
ditubuhkan iaitu pada tahun 1945. Pada mulanya ianya dikenali sebagai
Jabatan Publisiti dan Pencetakan (Department of Publicity and Printing) dan
telah ditubuhkan oleh British Military Administration. Apabila
pentadbiran awam memerintah pada tahun April 1946, Jabatan ini dinamakan
Jabatan Perhubungan Awam (Public Relations Department) dan ditukar kepada
Jabatan Penerangan pada tahun 1950.
Pengarah pertama jabatan ini
ialah mendiang Encik Yoong Chong Yoon. Ibu pejabatnya terletak di Jalan Sultan
Idris Shah (Jalan Brewster) Pekan Ipoh (Bangunan Hong Leong Bank di
persimpangan trafik pertama). Suasana dalam negara amnya dan negeri Perak khususnya
pada ketika itu tidak stabil. Perang dunia kedua baru sahaja tamat dan
kerajaan British terpaksa berhadapan dengan pemberontakan serta ancaman
pihak komunis. Oleh itu bagi menangani pelbagai masalah dalam
negara yang kian memuncak khususnya ancaman komunis, maka pihak British
pun menubuhkan Jabatan Publisiti dan Pencetakan di negeri ini.
Jumlah anggota pejabat terdiri
daripada seorang pengarah, seorang pegawai penerangan, 3 orang pegawai luar, 3
orang operator wayang gambar dan lebih kurang 5 orang anggota sokongan seperti
kerani dan pelayan pejabat. Khidmat pegawai penerangan, pegawai luar dan
operator wayang gambar digunakan sepenuhnya oleh pihak British untuk
menjalankan kempen anti komunis di seluruh negeri. Selain daripada itu, pihak
British juga telah menyewa sebuah bangunan bersebelahan dengan ibu pejabat (di
kawasan gedung perniagaan Super Kinta sekarang) yang dikenali
sebagai `Area Information Office’ untuk mencetak dan mengedarkan bahan-bahan
penerbitan kepada orang ramai.
Ruang pejabat yang terhad
serta penambahan anggota menyebabkan jabatan ini berpindah ke Bangunan
Persekutuan, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Ipoh pada tahun
1972.
No comments:
Post a Comment